Allah..., Allah..., Allahu Akhbar, Allah
Yang Maha Besar. Begitulah rintihan yang kedengaran daripada bibir
merekah seorang wanita dek lapar dan dahaga menanggung derita kerana
beriman.
Bayangkanlah betapa siksanya ditelentangkan di tengah
padang pasir yang panas terik. Sedangkan badannya dihempap batu besar
lagi berat. Kemudian disebat bertubi-tubi. Tetapi keadaan begini tidak
sedikit pun memesongkan hati Zinnirah daripada meyakini kewujudan dan
keesaan Allah. Hatinya berbisik, “Ini untuk-Mu wahai Tuhan-ku. Aku
membeli kesusahan ini untuk kesenangan akhirat kelak. Aku sedar untuk
memperoleh syurga terpaksa melalui ujian berat. Sedangkan jalan ke
neraka itu di pagari nikmat.”
Penyiksaan demi penyiksaan diterima
oleh Zinnirah dengan penuh tabah. Kaki dan tangannya diikat. Tamparan
serta tendangan yang hinggap di tubuhnya tidak sedikit pun mengubah
fikiran Zinnirah. Begitulah keadaan hamba perempuan Umar al-Khattab yang
telah memeluk Islam sebelum tuannya sendiri beroleh hidayah Allah. Umar
yang terkenal bengis semasa jahiliyahnya tidak pun menaruh belas
terhadap hamba-hambanya yang memeluk Islam. Kesemuanya disiksa dengan
dahsyat!
Zinnirah termasuk di kalangan generasi awwal yang
memeluk Islam. Pasti dia telah menerima seruan Rasulullah secara rahsia.
Zinnirah menerima cahaya keimanan itu dengan hati yang insaf dan sedar
bahawa Yang Maha Pencipta sajalah yang berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya.
Dia menunaikan ibadtnya secara sembunyi pada waktu malam.
Dalam
keheningan dan kesunyian malam, dia sujud memohon pertolongan Allah.
Setiap kali ayat-ayat Al-Quran dibacanya, pasti tidak henti-henti
airmatanya berlinangan. Bilamana terbaca ayat Al-Qur’an yang
menggambarkan siksaan api neraka, dia menangis hingga pengsan. Jiwa
tauhid tertanam tebal dalam dirinya, tiada suatupun dapat
mempengaruhinya melainkan kekuasaan Allah.
Penyiksaan terhadap
Zinnirah berada di kemuncaknya bilamana kedua-dua matanya dicucuk dengan
besi tajam. Akhirnya gelaplah seluruh penglihatannya. Terlalu zalim
penyiksaan tersebut. Namun hatinya masih mampu berbisik, ‘Ya Allah, aku
lebih rela dibunuh daripada menjual agama-Mu. Semakin dahsyat penyiksaan
ini, semakin kurasai kehebatan dan keagungan-Mu. Panahan cinta-Mu
itulah yang menguatkanku menanggung azab ini. Ya Allah! Berilah petunjuk
kepada orang yang menyiksaku...”
Bukan sahaja Zinnirah tidak
berdendam, malahan ketabahnnya semakin mendalam. Meski pun matanya telah
buta tetapi hatinya tetap celik dan berupaya melihat cahaya kebenaran
Islam. Begitulah hakikat iman, kesannya terhadap hati memang luarbiasa.
Apatah lagi jika disertai dengan pengorbanan yang sangat besar seumpama
yang telah dikorbankan oleh Zinnirah. Ini bertepatan dengan maksud
firman Allah yang berbunyi :
“Tidak
ada sesuatu pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan
barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akn memberi
petunjuk kepada hatinya Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghaabun: 11)
Apabila
melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba
mempermain-mainkannya supaya terpesong daripada Islam. Mereka mengatakan
Zinnirah buta kerana menerima laknat dari tuhan mereka, Latta dan Uzza.
Zinnirah menolak dakwaan itu dengan pendiriannya yang tegas. Dia tahu
dengan jelas, Latta dan Uzza itu hasil ciptaan tangan orang-orang kafir
Quraisy. Bila-bila masa saja ia boleh dimusnahkan, dan sudah tentu tidak
mungkin buatan manusia tidak dapat mendatangkan sesuatu bencana maupun
rahmat.
Zinnirah tetap menegaskan, bahawa matanya buta atas
kehendak Allah. Maka hanya Allah jua yang akan dapat menghilangkan
bencana yang ditanggungnya. Dengan pendirian Zinnirah itu,
bertambah-tambah kemarahan orang-orang kafir Quraisy. Mereka
memperhebatkan lagi siksaan terhadap Zinnirah dan terus mencabarnya
untuk membuktikan kebenaran pendiriannya itu. Zinnirah terbukti tegas
dan tabah. Keyakinannya tidak sedikit pun tergugat dan berganjak.
Semuanya ini tidak sia-sia di sisi Allah. Ketabahan luar biasanya itu
telah beroleh ganjaran yang ajaib!
Allah Yang Maha Berkuasa telah
mengembalikan penglihatan Zinnirah! Malahan matanya dapat melihat
dengan lebih terang dari sebelumnya. Ditambah dengan sesuatu yang
menakjubkan; sinaran mata Zinnirah menyilaukan pandangan orang-orang
kafir Quraisy! Begitulah pertolongan Allah kepada Zinnirah untuk
menambah kekuatan imannya. Saydina Abu Bakar As-Siddiq sendiri datang
menebus Zinnirah dengan harga yang tinggi. Mulai saat itu bebaslah
Zinnirah daripada penindasan orang-orang kafir Quraisy.
Begitulah
Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan terhadap
selain daripada Allah. Manusia seluruhnya hanya wajib memperhambakan
diri kepada Allah semata-mata. Setiap Muslim mesti berpegang teguh
dengan prinsip, ‘Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan
Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.’ Di situlah juga terletakkannya
keunggulan generasi awal Islam bertepatan dengan maksud firman Allah :
“Kamu
sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh
mengerjakan kebaikan dan melarang memperbuat kejahatan.” (Ali-Imran:110)
Bagaimana
pula kita sebagai anak muda Islam hari ini? Anak muda hari ini
disifatkan sebagai bakal pemimpin hari esok. Anak muda hari esok pula
pasti akan mewarisi watak remaja hari ini. Sedangkan untuk mewarisi
segala bentuk kebaikan, anak muda hari ini sepatutnya mencontohi anak
muda masa silam. Yang dimaksudkan dengan anak muda masa silam ialah
generasi awal Islam yang Rasulullah didik dengan prinsip Islam. Hati
mereka telah ditanam dengan iman yang mendalam.
Untuk menjelmakan
hakikat ini dalam kehidupan kita, setiap pengetahuan Islam yang telah
kita pelajari selama ini mestilah diamalkan sepenuhnya. Tidaklah tinggal
sebagai ilmu pengetahuan semat-mata. Dengan benar-benar melaksanakan
tuntutan Islam kita akan berjaya menepis sebarang pujukan syaitan yang
sentiasa berusaha menghalang kita daripada menghambakan diri semata-mata
kepada Allah.
Apabila kita fokuskan penelitian ini ke atas anak
gadis dewasa ini, kesan yang akan wujud dalam masyarakat masa depan
sangatlah besar dan penting. Ini berdasarkan pendapat, apabila baik
wanita sesebuah masyarakat itu, maka akan baiklah juga masyarakat
tersebut. Wanita juga disifatkan sebagai tulang belakang dalam kehidupan
berkeluarga. Justru itu persediaan seawal usia remaja mestilah diberi
perhatian. Supaya hati mudah terpimpin untuk mematuhi perintah Allah
sepertimana keyakinan dan ketaatan yang dimiliki oleh Zinnirah. Hanya
hati yang demikian akan bebas daripada cengkaman nafsu. Hati tersebut
merdeka daripada sebarang rasa gelisah serta menjamin pemiliknya beroleh
kejayaan di dunia dan di akhirat. Dengan lain perkataan mengecap
kebahagiaan di dunia manakala di akhirat beroleh syurga idaman.
wallahuallam..
dipetik dari satu sumber !